Restoran Modesto’s buka cawangan ke-11 di The Zon
Laporan dari Berita Harian bertarikh Selasa 25hb April 2006 :-
Restoran Modesto’s buka cawangan ke-11 di The Zon
JOHOR BAHRU: Restoran Modesto's yang terkenal dengan makanan ala Itali dan program hiburannya kini bertapak di bandar raya ini berikutan pembukaan rangkaian ke-11 restoran berkenaan di The Zon Johor Bahru, Stulang Laut di sini, hari ini.
Pengerusi Kumpulan Kelab dan Restoran Modesto's, Robert Wong, berkata kerjasama dengan The Zon memberi peluang Modesto's untuk memiliki lokasi dan menjalinkan hubungan perniagaan secara sinergi yang mampu menguntungkan kedua-dua pihak.
Beliau berkata, pihaknya percaya restoran Modesto's yang pertama di Selatan tanah air itu mampu menyediakan restoran dan dimensi hiburan terbaru di kalangan penduduk negeri ini.
Katanya, dengan pelaburan RM500,000, pihaknya beroperasi di dua restoran berkeluasan 325.16 meter persegi yang mampu memuatkan sebanyak 160 tempat duduk.
"Kami percaya penduduk bandar raya ini akan menikmati manfaat daripada jalinan hubungan ini kerana kami komited untuk mewujudkan adunan hiburan serta makanan dan minuman (F&B) yang memenuhi keperluan dan keinginan semua sektor masyarakat tempatan," katanya di sini, semalam.
Beliau berkata demikian selepas menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Modesto's dengan The Zon Johor Bahru.
Pada majlis itu, Modesto's diwakili beliau dan Pengarah Eksekutifnya, Modesto Marini manakala The Zon Johor Bahru diwakili Pengarah Naluri Corporation Berhad, PY Wong dan Pengurus Besar Kelana Megah Sdn Bhd, Selina Ng.
|