Peguam Negara masih kaji
Laporan dari Harian Metro bertarikh Selesa 2hb Mei 2006 :-
Peguam Negara masih kaji
KANGAR: Peraturan mengenakan bayaran RM20 bagi kenderaan luar yang memasuki negara ini yang sepatutnya dikuatkuasakan semalam, ditangguhkan kerana kajian mengenai peruntukan undang-undang sesuai masih dilakukan Pejabat Peguam Negara.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, berkata Pejabat Peguam Negara masih mengkaji dan mengenal pasti undang-undang sesuai digunakan bagi membolehkan setiap kenderaan dari negara jiran dikenakan bayaran RM20 sebagai permit masuk.
Beliau berkata, bayaran dikenakan mengikut jenis kenderaan dan tempoh berada di Malaysia.
“Kerajaan belum dapat memastikan tarikh sesuai untuk menguatkuasakan peraturan ini tetapi akan dilaksanakan sebaik saja Pejabat Peguam Negara mengenal pasti undang-undang sesuai,” katanya.
Mohd Radzi berkata demikian selepas menyampaikan premium insurans Takaful kepada 136 Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) seluruh Parlimen Kangar dan sumbangan 12 komputer kepada sekolah.
Katanya, Jabatan Imigresen dipertanggungjawab untuk mengutip bayaran itu kerana ia adalah agensi pertama yang ditemui pelawat asing sebaik saja memasuki negara ini menggunakan kenderaan.
“Sebaik saja kita kenal pasti peruntukan undang-undang, peraturan ini akan dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.
Mengenai reaksi negara jiran terhadap peraturan baru itu, Mohd Radzi berkata, tiada maklum balas diterima kerana negara jiran juga mengenakan bayaran kepada kenderaan dari Malaysia.
Rakyat asing yang memandu kereta ke Singapura dikenakan bayaran S$20 (RM45) sehari atau S$4 (RM9) bagi penunggang motosikal, mengikut skim Permit Masuk Kenderaan (VEP).
Awal bulan lalu, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilaporkan berkata, pelancong dari Singapura dan Thailand yang menggunakan kenderaan untuk memasuki negara ini akan dikenakan bayaran RM20 sebagai permit masuk bermula 1 Mei.
Tengku Adnan berkata, keputusan mengenakan bayaran itu adalah sebagai menampung sebahagian daripada kos subsidi petrol dan diesel yang ditanggung kerajaan.
Keputusan mengenakan bayaran RM20 itu dibuat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Minyak yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
|