Rakam imej 'hantu'
Laporan dari Harian Metro bertarikh Selesa 2hb Mei 2006 :-
Rakam imej 'hantu'
JOHOR BAHRU: Sebuah keluarga di Taman Rinting, Masai, di sini, gempar apabila seorang daripada ahli keluarga itu merakam beberapa imej `menggerunkan’ pada 11 April lalu yang sehingga kini tidak diketahui identitinya.
Ibrahim Mohamed Noh, 21, berkata kejadian berlaku ketika abangnya, Ismail, 23, dipercayai diganggu makhluk halus dan mendapatkan rawatan tradisional di rumah.
Katanya, pada hari pertama rawatan, dia dapat merasakan ada sesuatu yang menggerunkan di dalam rumah dan mengambil keputusan mengambil gambar menggunakan telefon bimbitnya.
“Saya mengambil gambar itu kira-kira jam 12 tengah malam dan ketika melihat imej yang diambil, saya terkejut ada ‘benda’ berdiri di penjuru ruang tamu.
“Saya terus masuk tidur kerana ketakutan dan hanya melihat imej berkenan keesokan harinya,” katanya.
Ibrahim berkata, pada hari kedua, dia tergerak mengambil empat keping gambar di luar rumah dan masing-masing mempunyai imej makhluk ‘alam lain’ yang berlegar di kawasan rumahnya.
Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, dia mengambil gambar selepas merasakan ada sesuatu cuba mengganggu keluarganya.
Menurutnya, pada hari ketiga ketika abangnya semakin pulih, dia dapat merakam gambar pada waktu Maghrib yang menunjukkan ada benda cuba mencapai sesuatu yang ditempatkan di penjuru ruang tamu.
“Sehingga kini, setiap kali menatap gambar itu, bulu roma saya berdiri. Keadaan ini bukan saja berlaku kepada saya, malah keluarga dan rakan-rakan yang melihatnya.
“Apa yang peliknya, objek itu tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi boleh dirakam menggunakan kamera walaupun hanya kamera telefon bimbit,” katanya.
Ibrahim berkata, abangnya kini sudah pulih dan melalui rakan-rakan, ada yang berpendapat gambar yang dirakam itu ialah imej penanggal, langsuir dan satu imej `budak botak perut buncit’.
Beliau mendakwa sejak tinggal di kawasan itu lebih 10 tahun lalu pelbagai kejadian aneh berlaku di kawasan sekitar terutama di tapak permainan kanak-kanak pada waktu malam.
|