Korban halau hantu
Laporan dari Harian Metro bertarikh Rabu 3hb Mei 2006 :-
Korban halau hantu
KUALA LUMPUR: Hanya kerana takutkan hantu yang didakwa menghuni rumahnya, seorang suri rumah dikatakan menjadi mangsa rogol seorang bomoh palsu sebanyak 51 kali dalam upacara `korban tubuh’ kononnya untuk menghalau makhluk terbabit.
Bomoh palsu berusia 53 tahun itu yang bekerja sebagai pembantu kedai kopi di Taman Miharja. Cheras, mendakwa upacara khas itu perlu dilakukan bagi memastikan mangsa yang mempunyai suami dan seorang anak kecil tidak terus diganggu hantu yang menumpang rumahnya di Jalan Loke Yew, Cheras.
Mangsa, AC Tan, 41, berkata, dia mula mengenali bomoh terbabit selepas minum petang di sebuah kedai kopi pada Oktober tahun lalu.
Ketika sedang minum, seorang wanita yang dikenali sebagai Lee, 57, datang menghampirinya lalu berbual mengenai pelbagai isu, termasuk soal takdir dan masalah hidup.
“Saya tanpa segan silu menceritakan masalah bermain di jiwa berhubung soal kesusahan keluarga, pendapatan tidak menentu selain sering ditimpa penyakit.
“Wanita itu mengesyorkan saya supaya berjumpa dengan seorang bomoh lelaki dikenali sebagai Chong yang didakwa mampu mengubati pelbagai masalah dialami,” katanya, ketika ditemui di Biro Aduan MCA, di sini, semalam.
Mangsa yang mempunyai seorang anak berusia tiga tahun kemudian bertemu dengan lelaki terbabit lalu menceritakan segala kesulitan.
Bomoh itu membuat tilikan dan mendakwa semua masalah itu berpunca daripada hantu yang mengganggu hidup kami sekeluarga.
Dia mendakwa mempunyai keupayaan khas untuk menghalau hantu menggunakan ilmu dipelajari sejak usia muda serta mampu mengubah nasib buruk dialami seseorang.
Selain diberi tangkal untuk dipakai, Tan berkata, bomoh berkenaan mendakwa kaedah berubat terbabit benar-benar berkesan sekiranya mangsa merelakan dirinya untuk disetubuhi bagi mengusir roh jahat.
Akibat percaya dengan dakwaannya itu, mangsa merelakan tubuhnya diperkosa bomoh berkenaan di rumahnya.
“Bomoh itu kerap datang ke rumah saya ketika suami keluar bekerja dengan alasan untuk melakukan upacara itu pada waktu tengah hari. Sebaik upacara itu selesai, dia akan memperkosa saya.
“Sehingga kini, bomoh durjana itu sudah memperkosa saya sebanyak 51 kali sejak Oktober tahun lalu sama ada di rumah saya atau di rumahnya,” katanya yang terpaksa akur dengan permintaan bomoh itu kerana memikirkan keselamatan suami dan anak.
Malah, mangsa dipaksa membayar antara RM20 hingga RM50 selepas diperkosa dengan alasan sebagai caj bayaran terhadap perkhidmatan diberi.
Menurutnya, sehingga kini, dia sudah membayar lebih RM1,000 kepada bomoh itu.
Mangsa akhirnya mendedahkan hal sebenar kepada suaminya.
|