Pelacur kerja ikut syif di rumah urut
Report from Harian Metro dated Friday 19 January 2007:-
Pelacur kerja ikut syif di rumah urut
SUBANG JAYA : Sindiket pelacuran di sekitar daerah ini dikesan berselindung di sebalik rumah urut selain dipecahkan beberapa kumpulan kecil bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.
Malah, beberapa serbuan dibuat pihak berkuasa sejak awal bulan ini mendapati, setiap kumpulan mengandungi kurang daripada 20 pekerja dan mereka bekerja mengikut syif.
Selain itu sindiket terbabit menggunakan premis yang terletak dalam hotel selain menggunakan khidmat tonto untuk mengawal kegiatan haram mereka.
Ini terbukti dalam serbuan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), polis, imigresen dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) malam tadi yang mendapati kebanyakan premis rumah urut dikawal ketat oleh tonto yang bertindak sebagai ‘mata dan telinga’ kepada ahli sindiket itu.
Bagaimanapun operasi selama tiga jam bermula jam 9 malam di tiga lokasi di sebuah hotel di Jalan Sungai Besi, USJ dan Bandar Puteri Puchong, membongkar kegiatan haram berkenaan walaupun dikawal ketat oleh tonto.
Pengarah Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan MPSJ, Mohd Zulkarnain Che Ali, berkata pihaknya percaya selain menjalankan khidmat mengurut, mereka menawarkan perkhidmatan sampingan.
“Ini kerana melalui pemeriksaan yang dibuat terhadap premis urut itu, kami turut menjumpai beberapa kondom dipercayai digunakan pelacur terbabit.
“Semua rumah urut itu juga kami sudah ambil tindakan dengan menyaman mereka selain tidak lagi memperbaharui lesen berikutan pembabitan mereka dengan unsur maksiat,” katanya di sini, semalam.
Dalam operasi membabitkan tiga rumah urut itu, seramai 65 wanita diperiksa berikutan pembabitan mereka dalam kegiatan maksiat.
Semua wanita terbabit yang berumur 20 hingga 30 tahun dirujuk kepada Jais untuk diberi kaunseling.
Mohd Zulkarnain berkata, MPSJ kini tidak mengeluarkan lesen malah tidak lagi menyambung lesen premis rumah urut berikutan kebanyakan daripada mereka terbabit dengan gejala tidak bermoral.
--- KatoeyNewsNetwork
|