Kumpulan pelacur ‘kelas atasan’ dicekup
Report from Harian Metro dated Monday 22 January 2007:-
Kumpulan pelacur ‘kelas atasan’ dicekup
KUALA LUMPUR : Terkejut dengan kehadiran anggota polis, beberapa pelacur warga asing bertempiaran melarikan diri dalam keadaan separuh bogel dengan tubuh mereka hanya ditutupi tuala kecil sebelum bersembunyi di tangga pangsapuri didiami.
Dalam operasi jam 4 pagi itu, sekumpulan pelacur yang disimpan ‘bapa ayam’ di unit kediaman di tingkat 17 pangsapuri di Jalan Horley di sini, dikesan cuba melarikan diri dengan menaiki tangga ke tingkat 18.
Bagaimanapun, cubaan gadis terbabit berjaya dikesan sepasukan anggota polis yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian Kuala Lumpur, Superintendan Mohd Zaki Masroh, sejurus terdengar suara perempuan dan bunyi tapak kaki berlari menaiki tangga.
Difahamkan kumpulan pelacur terbabit cuba melarikan diri selepas kehadiran polis di pintu masuk utama pangsapuri disedari tonto yang berkawal sepanjang masa di bahagian bawah kediaman terbabit.
Sumber polis berkata, sepasukan anggota polis kemudian ke tingkat 17 pangsapuri terbabit menggunakan lif.
Sebaik keluar daripada pintu lif, anggota polis terdengar suara wanita bercakap selain bunyi tapak kaki berlari menaiki tangga berhampiran.
“Berikutan itu anggota polis segera menjalankan siasatan sebelum melihat sekumpulan gadis berlari di tingkat 18. Anggota polis mengejar semua gadis berkenaan sebelum menahan lima gadis terbabit.
“Siasatan mendapati gadis yang ditahan itu berusia berusia 20 hingga 29 tahun,’ katanya.
Menurutnya, susulan tangkapan itu, polis kemudian menjalankan pemeriksaan di sebuah premis kosong di tingkat 17 sebelum menemui lima gadis sedang bersembunyi di dalamnya.
“Siasatan mendapati semua gadis terbabit pelacur ‘kelas atasan’ dengan dihantar bapa ayam ke lokasi tertentu berdasarkan tempahan pelanggan.
“Siasatan mendapati enam daripada gadis China yang ditahan itu menyalahgunakan pas lawatan sosial sebagai pelancong untuk menjadi pelacur di negara ini,” katanya.
Menurutnya, tiga lagi pelacur warga Indonesia dan seorang gadis Thailand didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah memasuki negara ini.
“Polis percaya sindiket pelacuran tempatan yang menguruskan pelacur muda ini mengenakan kadar bayaran tinggi kepada pelanggan berikutan usia kebanyakan pelacur semuda 20 tahun.
“Biasanya kadar ditetapkan melebihi RM200 dan pelacur terbabit akan dihantar menemui pelanggan di bilik hotel,” katanya.
Siasatan turut mendapati sindiket pelacuran terbabit turut mengubah suai bilik pangsapuri terbabit menjadi ala bilik hotel bagi membolehkan pelanggan memuaskan nafsu.
Menurutnya, semua pelacur yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 11(7) Peraturan Imigresen 1969 kerana menyalahgunakan pas lawatan dengan bekerja sebagai pelacur selain Seksyen 6(1)(C) kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah.
Difahamkan pangsapuri sama pernah diserbu polis tujuh hari lalu dan polis berjaya menahan 10 gadis warga asing.
Bagaimanapun dalang sindiket terbabit jelas tidak pernah serik apabila terus menjadikan lokasi sama sebagai sarang maksiat kerana menyangka ia tidak akan dikunjungi polis lagi.
Dalam serbuan terdahulu, sebanyak lapan bilik apartmen berkenaan digeledah sebelum polis menemui beberapa bilik dilengkapi set bilik tidur, almari, peti sejuk dan bilik air yang disediakan sindiket terbabit dengan menawarkan gadis tukang urut asing dari pelbagai negara.
--- KatoeyNewsNetwork
|