9 tukang urut ditahan
Report from Harian Metro dated Tuesday 23 January 2007:-
9 tukang urut ditahan
NIBONG TEBAL : Rahsia sebuah rumah kedai tanpa papan tanda di pekan ini menjadi tumpuan terbongkar apabila sembilan wanita warga asing dipercayai bekerja sebagai tukang urut ditahan dalam serbuan, kelmarin.
Operasi kira-kira jam 6.20 petang itu dilakukan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Selatan (SPS) diketuai Cif Inspektor S Mogan selepas menerima maklumat awam.
Ketua Polis Daerah, Pemangku Superintendan Zainal Abd Aziz, berkata dalam serbuan itu, pihaknya menahan 9 wanita warga Thailand kerana disyaki bekerja sebagai tukang urut di rumah kedai itu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati semua wanita berusia antara 20-an hingga 30-an itu mempunyai pasport tetapi disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk melakukan kegiatan tidak bermoral.
Katanya, seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun dipercayai penjaga kedai terbabit bersama lima pelanggan berusia 40-an turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Sebelum serbuan dilakukan, polis yang menerima maklumat melakukan intipan ke rumah kedai terbabit kerana dipercayai tidak mempunyai lesen untuk mengenal pasti kegiatan mereka.
“Dalam serbuan itu sembilan wanita warga Thailand bersama lima pelanggan yang berurusan di situ ditahan untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.
Zainal berkata, polis akan meminta Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) mengeluarkan kompaun terhadap rumah urut kerana disyaki beroperasi tanpa lesen.
Menurutnya, sembilan warga asing terbabit yang kini direman 14 hari mulai semalam akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/1963 kerana disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial.
Katanya, lelaki yang bekerja sebagai penjaga kedai terbabit juga direman lima hari mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah untuk membantu siasatan.
“Kita masih menjalankan siasatan untuk mengesan dalang di sebalik kegiatan rumah urut berkenaan,” katanya.
--- KatoeyNewsNetwork
|