Romeo Afrika lagak hartawan
Laporan daripada Harian Metro bertarikh Selesa 6hb Februari 2007 :-
Romeo Afrika lagak hartawan
KUALA LUMPUR: Dengan menyamar hartawan Perancis, sekumpulan ‘romeo’ atau ‘pisau cukur’ dari Afrika Utara menggunakan umpan kasih sayang serta ‘ayat’ romantis sebagai taktik memikat wanita tempatan sebelum mengugut menyiarkan gambar bogel mereka di internet jika gagal memberikan mereka wang berterusan.
Taktik pemerasan wang atas nama cinta itu menyebabkan segelintir gadis tempatan hidup terhimpit apabila dipaksa menyerahkan wang tidak kurang RM500 setiap bulan kepada ‘jantan keparat’ terbabit.
Difahamkan, kumpulan terbabit yang fasih berbahasa Perancis turut menggunakan pelbagai taktik serta alasan lain, termasuk menunggu kelulusan daripada kementerian tertentu untuk membuka restoran Perancis di ibu negara bagi meraih kepercayaan mangsa sebelum mula menunjukkan belang sebenar mereka.
Suspek yang dipercayai berasal dari Afrika Utara, terutama Maghribi dan Algeria, dikesan mengeksploitasi pas kerja tiga bulan mereka untuk mengikis wang serta harta mangsa yang kebanyakannya wanita sudah berumur yang dahagakan perhatian dan kasih sayang.
Lelaki terbabit memujuk mangsa melakukan hubungan seks dan tanpa disedari merakam gambar mereka dalam keadaan bogel untuk dijadikan senjata ugutan bagi mendapatkan wang.
Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nor, 40-an, berkata dia mula mengenali seorang jejaka Afrika yang pada mulanya disangka warga Perancis awal 2005 di sebuah disko ibu kota.
Nor yang pada masa itu di ambang perceraian dengan suami, mengakui tekanan akibat keretakan rumah tangga serta kesunyian membawanya lebih rapat dengan pemuda asing berusia 20-an itu.
“Pada mulanya dia amat baik dan sentiasa memahami emosi saya yang tidak menentu ketika itu. Malah, dia sangat setia mendengar apabila saya berhadapan masalah.
“Selepas hampir setahun bersama, dia mengajak saya berkahwin dan berjanji menyara hidup saya dan anak apabila mendapat kelulusan membuka restorannya di Kuala Lumpur,” katanya.
Menurutnya, walaupun tidak berkahwin, mereka mengambil keputusan tinggal sebumbung atas dasar saling mencintai.
“Namun, sikap romantisnya tiba-tiba bertukar panas baran, terutama apabila gagal mendapatkan duit daripada saya. Malah teman lelaki saya itu sering mencuri wang dari dompet ketika saya sedang lena.
“Hari berganti hari, janjinya entah ke mana. Saya hampir putus asa untuk meneruskan kehidupan apabila mengetahui dia curang terhadap saya dan hanya bersama saya untuk mendapat wang,” katanya.
Menurutnya, keadaan semakin teruk apabila lelaki terbabit mula memukul dan mengugut akan menyebarkan gambar bogelnya yang diambil ketika tidur di internet.
“Selain itu, dia mengugut menculik anak saya yang masih bersekolah,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya, dia buntu dan jiwanya terseksa sehingga anak terabai, namun masih dihubungi lelaki Afrika terbabit yang mengugutnya sehingga kini untuk mendapatkan wang.
“Saya sungguh tak sangka perhubungan kami boleh jadi sebegini. Dia berbuat apa saja untuk mendapatkan wang daripada saya. Apabila saya minta dilepaskan, dia meminta RM50,000 dan sebuah Proton Waja jika tidak mahu terus diganggu dan diugut,” katanya.
Berikutan kejadian itu, Nor berkata, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sementara itu, sumber polis IPK Kuala Lumpur yang dihubungi menasihati gadis tempatan supaya berhati-hati jika ingin menjalin cinta dengan lelaki warga asing.
Menurutnya, kes membabitkan peras ugut menggunakan gambar bogel terhadap gadis tempatan semakin kerap dilaporkan kebelakangan ini.
“Kebiasaannya suspek akan menunjukkan sikap ambil berat serta kasih sayang sebelum bertindak kasar terhadap ‘kekasih’ mereka jika kemahuan tidak dituruti.
“Selain sikap panas baran, mereka menggunakan kekasaran fizikal yang melampau terhadap mangsa dan sanggup melakukan apa saja untuk memperoleh wang serta seks percuma,” katanya.
Difahamkan, kumpulan terbabit yang rata-ratanya bergerak secara individu menjadikan pusat tumpuan seperti kompleks beli-belah mewah dan disko yang dikunjungi golongan berada sebagai medan mendapatkan mangsa.
“Saya nasihatkan wanita tempatan yang menjadi mangsa segera tampil membuat aduan polis supaya masalah ini dapat diatasi,” katanya.
--- KatoeyNewsNetwork
|