Taktik baru tawar seks
Laporan daripada Harian Metro bertarikh Isnin 12hb Februari 2007 :-
Taktik baru tawar seks
JOHOR BAHRU: Beberapa sindiket pelacuran di sekitar Skudai, Pulai dan Kulai di sini, dikenal pasti beroperasi dalam kumpulan kecil dan menggunakan premis persendirian bagi menawarkan perkhidmatan seks, berbanding hotel murah.
Perubahan modus operandi itu dikesan selepas siasatan dan tangkapan sejak awal tahun ini mendapati sindiket berkenaan kini beralih kepada premis persendirian, berbanding menggunakan hotel murahan sebelum ini.
Selain itu, mereka beroperasi dalam bilangan kecil bagi mengelak wanita warga asing yang menawarkan khidmat seks ditahan serentak, selain sempat melarikan diri jika sesuatu tempat diserbu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan, berkata hasil siasatan dan serbuan menerusi Operasi Noda pihaknya mendapati sindiket pelacuran kini beralih kepada premis persendirian seperti apartmen, rumah sewa dan rumah kedai, berbanding hotel murah.
Katanya, dalam beberapa serbuan sejak Januari lalu, pihaknya menahan 44 orang, membabitkan 28 wanita warga asing yang menawarkan khidmat seks serta 16 lelaki tempatan yang bekerja sebagai bapa ayam, pengawal serta pelanggan wanita berkenaan.
Menurutnya, 28 wanita warga asing itu membabitkan 15 (Thailand), 11 warga Indonesia dan 2 China, berusia antara 21 hingga pertengahan 30-an, manakala 16 lelaki terdiri daripada pelanggan, pekerja dan bapa ayam berusia antara 20-an hingga 40-an.
Daripada kira-kira 10 serbuan, katanya, hanya satu tangkapan dilakukan di sebuah hotel murah di sekitar kawasan Skudai, manakala selebihnya membabitkan premis persendirian sama ada di apartmen, rumah sewa mahupun rumah kedai.
“Siasatan mendapati, sindiket pelacuran di kawasan sekitar ini kini lebih tertumpu kepada premis persendirian bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.
“Mereka kini beroperasi dalam kumpulan kecil antara tiga dan empat wanita, dipercayai bagi mengelak semua wanita warga asing yang menawarkan perkhidmatan seks itu ditahan sekali gus.
“Selain itu, penggunaan premis persendirian dianggap lebih selamat dan mereka yang menyewa premis berkenaan boleh berpindah dengan mudah berbanding beroperasi di hotel murah,” katanya.
Beliau berkata, selain sanggup mengeluarkan modal besar untuk menyewa premis persendirian, sindiket berkenaan melengkapkan premis itu dengan pelbagai alat keselamatan.
Menurutnya, antara ciri-ciri keselamatan digunakan beberapa sindiket pelacuran itu termasuk kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sekitar premis, pengawal keselamatan kad dan dua jeriji di pintu satu-satu premis.
Katanya, penggunaan alat kawalan keselamatan itu bukan saja bertujuan memudahkan mereka melihat keadaan sekeliling, malah dipercayai bagi menyukarkan serbuan pihak berkuasa.
Walaupun mengeluarkan belanja besar, katanya, sindiket itu mengenakan bayaran tinggi bermula RM60 hingga lebih RM200. bergantung pada jenis perkhidmatan dan warga negara wanita itu.
Berikutan itu, katanya, polis akan meneruskan serbuan membabitkan premis persendirian serta pemeriksaan di hotel murah dan mengalu-alukan maklumat orang ramai.
--- KatoeyNewsNetwork
|