Penjual ubat kuat cabut lari
Laporan daripada Harian Metro bertarikh Jumaat 23hb Mac 2007 :-
Penjual ubat kuat cabut lari
KUALA LUMPUR : Puluhan saudagar pil dan kapsul seks haram yang berpangkalan di Lorong Haji Taib, Chow Kit di sini, bertempiaran lari apabila sarang mereka digempur anggota Cawangan Penguat Kuasa Farmaseutikal (CPF) Kementerian Kesihatan dan cawangan Kuala Lumpur.
Kebanyakan saudagar berusia sekitar 50-an itu melarikan diri dengan meninggalkan beg bimbit berisi ubat seks berkenaan sebaik menyedari kehadiran lebih 30 anggota penguat kuasa.
Bagaimanapun, dalam operasi jam 2 petang semalam, yang diketuai Penolong Pengarah Penguat Kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan, Nozrin Taharin, dua lelaki berusia 50-an diberkas ketika asyik menjual ubat seks haram kepada orang ramai termasuk Viagra dan Cialis palsu.
Hasil serbuan itu juga, lebih 500 ubat seks haram bernilai RM50,000 dirampas selepas anggota penguat kuasa menemui lebih tujuh beg bimbit di atas meja lipat.
Wartawan Harian Metro yang menyertai serbuan itu turut mendapati peniaga pil perangsang seks terbabit menggunakan gambar perempuan bogel sebagai tarikan kepada pelanggan.
“Dua peniaga berusia 50-an itu terpaksa menyerahkan produk diniagakan kerana sudah sedia maklum dengan kesalahan yang dilakukan,” katanya.
Difahamkan, peniaga ubat seks haram terbabit yang mendapat bantuan tonto untuk menyalurkan amaran awal, gagal mengesan kehadiran pihak berkuasa.
Jurucakap penguat kuasa CPF-Kuala Lumpur berkata, ramai peniaga haram itu sempat melarikan diri.
Antara ubat yang dirampas berjenama Senulong, Climax, Magis Power, Playboy, Power One, Energy, Maximan, Libido, Loving, Maxi Power dan Maximan II.
“Kebanyakan produk seks dirampas itu mengandungi Sildenafil Nitrate (bahan utama membuat Viagra) selain Taladafil yang dijual pada harga RM20 hingga RM180 sekotak.
“Bahan Sildenafil yang disenaraikan racun berjadual hanya dibenarkan penggunaannya dalam pil Viagra tulen keluaran Pfizer untuk rawatan mati pucuk,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga merampas alat seks tiruan, termasuk alat kelamin lelaki dan wanita yang diperbuat daripada getah serta alat menambah saiz alat kelamin lelaki berbentuk tiub.
“Lelaki ditahan itu dibawa ke Balai Polis Jalan Hang Tuah sebelum didakwa di Mahkamah Majistret, hari ini.
“Sabit kesalahan, penjual atau pengedar itu boleh didenda tidak kurang RM5,000 atau dua tahun penjara mengikut Akta Racun 1957 dan denda antara RM25,000 hingga RM50,000 serta dua tahun penjara mengikut Akta Jualan Dadah Pindaan 2000,” katanya.
Operasi berkenaan adalah rentetan pendedahan Harian Metro, Sabtu lalu, berhubung kegiatan penjualan ubat-ubatan seks haram mengandungi kimia Taladafil yang boleh mengancam nyawa pengguna.
--- KatoeyNewsNetwork
|