Berbogel pecut kereta disergah penguat kuasa
Laporan daripada Harian Metro bertarikh Jumaat 6hb Julai 2007 :-
Berbogel pecut kereta disergah penguat kuasa
SHAH ALAM : Bogel tak apa, asal dapat lari. Begitulah tindakan segelintir pasangan remaja di sini yang sanggup melarikan diri walaupun tanpa seurat benang di badan dengan memecut kereta ketika disergah pegawai penguat kuasa jabatan agama Islam.
Bagaimanapun, kebanyakan pasangan itu yang melakukan hubungan seks dalam kereta dapat ditahan selepas dikejar.
Biasanya, pasangan itu tidak sedar dihampiri penguat kuasa jabatan agama dan disebabkan terlampau terkejut, mereka memecut dalam keadaan berbogel.
Ada juga di antara mereka yang agak berani dengan bertindak balas, termasuk cuba merempuh pegawai penguat kuasa berkenaan dan mengeluarkan kata-kata kesat bagi memastikan mereka tidak ditahan dan dikenakan tindakan.
Sumber Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata, pasangan kekasih yang berkereta gemar menjadikan tempat letak kereta Taman Tasik Shah Alam serta Stadium Melawati, di sini, sebagai tempat melampiaskan nafsu.
“Ada pasangan yang diserbu tiada seurat benang pun di tubuh tetapi mengambil risiko dengan menghidupkan kereta lalu memecut laju selepas menyedari kami mengetuk cermin tingkap atau menyuluh mereka,” katanya.
“Mereka dipercayai melarikan diri dengan berbogel sejauh beberapa kilometer sebelum memberhentikan kenderaan untuk mengenakan pakaian apabila yakin tidak diekori pegawai jabatan agama tetapi sesetengahnya dapat dicekup,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.
Menurut sumber, ada juga yang cuba merempuh pegawai penguat kuasa tetapi setakat ini, tiada yang cedera.
Ini kerana mereka sudah diarahkan mengutamakan keselamatan diri ketika mengambil tindakan terhadap pasangan disyaki melakukan perbuatan sumbang.
“Perbuatan melarikan diri dalam keadaan telanjang bulat adalah perkara paling serius pernah kami lihat sepanjang bertugas membanteras maksiat.
“Bagaimanapun, ada juga pasangan yang melakukan hubungan seks dalam kereta tidak melarikan diri sebaliknya terus menyerah tanpa memberi alasan kerana sedar kesalahan yang dilakukan,” katanya.
Pasangan yang ditahan akan dibawa ke pejabat agama sebelum diberikan kaunseling dan dikenakan tindakan lain.
--- KatoeyNewsNetwork
|