Enam pelacur asing, lelaki tempatan ditahan
Laporan daripada Harian Metro bertarikh Selesa 10hb Julai 2007 :-
Enam pelacur asing, lelaki tempatan ditahan
MUAR : 6 wanita warga asing serta seorang lelaki tempatan ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan pelacuran di sebuah premis di Taman Joned Perdana, Jalan Joned di sini, malam Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohd Nizar Mohd Ali berkata, semua suspek ditahan dalam serbuan dilakukan sekumpulan enam anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, kira-kira jam 8 malam.
Katanya, 2 daripada wanita warga asing itu dari China dan 4 lagi dari Filipina, berusia antara 20-an hingga 30-an, manakala lelaki tempatan berusia 34 tahun yang berasal dari Johor Bahru itu ditahan bagi membantu siasatan pembabitannya dalam kegiatan tidak bermoral.
“Tujuh suspek itu kini direman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah sehingga 13 Julai bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan dan pihaknya akan turut bekerjasama dengan Jabatan Imigresen bagi meneliti dokumen perjalanan digunakan enam wanita warga asing terbabit.
Sementara itu, katanya, maklumat yang diperoleh itu hasil daripada kempen 'Sila Hubungi Saya' dan pelekat yang lengkap dengan hotline Bilik Gerakan IPD Muar, 6-9526222 dan Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, 07-2212999 yang diedarkan kepada 10,000 masyarakat.
“Walaupun kempen dan pelekat itu baru diedarkan, ia menunjukkan keberkesanannya dan usaha masyarakat menghubungi polis dapat membantu mencegah kegiatan yang tidak bermoral di kawasan penempatan masing-masing,” katanya.
Minggu lalu, Dewan Perniagaan Cina Muar (CCCM) yang diketuai Presidennya, Datuk Koh Kim Toon, menyerahkan 10,000 pelekat yang lengkap dengan nombor talian hotline itu untuk diedarkan kepada masyarakat.
Pelekat berkenaan sesuai dilekatkan di belakang telefon bimbit, kereta ataupun telefon tetap di rumah bagi memudahkan orang ramai menghubungi polis, jika melihat kejadian jenayah dan sesuatu yang mencurigakan.
--- KatoeyNewsNetwork
|